Friday, November 24, 2023

Menandatangani MoU SRCC

  Alhamdulillah selesai sudah sesi menandatangani MoU antara SRCC & SKTPP serta SMKPP untuk tempoh 5 tahun (1 Disember 2023 - 30 November 2028) di SMKPP. Pengerusi SRCC; En. Mohd Rusdi Saleh, Pengetua SMKPP; Pn. Wan Zuriah & Guru Besar SKTPP; Pn. Rohaidah binti Mohd Ali menurunkan tandatangan. Majlis ringkas ini telah disaksikan Timbalan Pengerusi SRCC; En. Mazlan, PK Koku SMKPP; En. Khairuddin, PK Koku SKTPP; Pn. Fauziah dan coach Junkeng Junaidi. 

   Dengan termetrinya perjanjian persefahaman ini, diharapkan para pemain, jurulatih, PSG & seluruh ahli SRCC boleh terus menggunakan segala kemudahan kriket yang ada di kedua-dua sekolah seperti padang, sangkar, bilik bitara, peralatan kriket dll sebagaimana sekarang. Diharapkan jua walau siapapun peneraju SKTPP & SMKPP pada masa depan, pihak SRCC & murid-murid kriket akan tetap boleh berlatih & bermain tanpa ragu-ragu.

   Semoga sukan kriket yang merupakan kebitaraan kedua-dua sekolah ini akan terus cemerlang & dapat melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat baru pada masa depan. Tahniah buat bintang-bintang kriket yang telah dilahirkan oleh SRCC sehingga ke peringkat antarabangsa & kebangsaan. Cikgu sangat berbangga dengan pencapaian kalian. Semoga terus sukses.

   Misi seterusnya : mendapatkan tandatangan KPPD & Timbalan PPD Sektor Pembangunan selaku saksi. Semoga dipermudahkan urusan selanjutnya..










Monday, November 20, 2023

Perbincangan GB SKTPP dengan Pengerusi SRCC

Usai Mesyuarat Agung SRCC pada Sabtu lepas, hari ini berlangsung perbincangan berkaitan MoU SRCC antara GB SKTPP; Pn. Rohaidah Mohd Ali bersama Pengerusi SRCC yang baru; En. Mohd. Mohd Rusdi Saleh. Tahniah Tuan Pengerusi yang jelas aktif & bervisi tinggi. Bermula dengan membincangkan tentang MoU SRCC vs SKTPP vs SMKPP, insyaa Allah gerak kerja seterusnya akan menyusul..  Semoga dipermudahkan pengurusan SRCC selanjutnya dalam menuju kecemerlangan.. 

Gerak kerja pertama dimulai dengan kemaskini Memorandum Persefahaman SRCC dengan SKTPP dan SMKPP

Saturday, November 18, 2023

Mesyuarat Agung SRCC Kali Ke-3 / Tahun 2023

Alhamdulillah.. selesai sudah Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kelab Kriket Sepang Rangers (SRCC) kali ke-3 / 2023. Terima kasih semua yang hadir & menjayakan MAT tadi. Tahniah kepada barisan AJK SRCC yang telah dilantik terutama kepada Pengerusi yang baru; En. Mohd Rusdi Saleh dan Timbalan Pengerusi; En. Mazlan Norman. Terima kasih buat Tn. Hj. Khairul Azhar Mohammad Suffian atas khidmat bakti serta sokongan yang diberi terhadap SRCC selama ini. Semoga SRCC dan sukan kriket akan terus cemerlang hasil komitmen PSG bersama pihak SKTPP & SMKPP..
























Wednesday, November 15, 2023

Perjumpaan Sukan Permainan Bil 12/12 : Klinik Asas Olahraga


Tarikh: 15 November 2023 (Rabu)

Masa: 12.20 - 2.20 petang

Tempat: SK Taman Putra Perdana

SK Taman Putra Perdana telah menganjurkan Klinik Asas Olahraga pada Perjumpaan Sukan dan Permainan Bil. 12 yang lalu. Antara objektif utama penganjuran klinik asas ini adalah seperti yang berikut:

    1. Memberikan pendedahan mengenai jenis acara dalam sukan Olahraga,

    2. mengajar teknik asas bagi acara-acara Olahraga yang telah dipilih

    3. Mencari murid-murid yang mempunyai potensi untuk dilatih sebagai atlet sukan Olahraga SK Taman Putra Perdana

Klinik asas ini bermula selepas sesi mengambil kehadiran murid (12.20 - 1.00 petang) di lokasi yang telah ditetapkan. Tiga acara Olahraga telah dipilih sebagai fokus utama bagi klinik asas ini. Acara tersebut ialah Lompat Tinggi, Lontar Peluru dan Lari Pecut dan Berganti-ganti. Oleh itu, tiga buah stesen telah diwujudkan dan para murid diberikan masa selama 20 - 30 minit bagi setiap stesen sebelum pergerakan rotasi bermula.


Stesen A: Lompat Tinggi

Acara ini telah dilaksanakan oleh Cikgu Rosalinda dan dibantu oleh atlet-atlet Lompat Tinggi kita. Antara fokus kemahiran yang diajar di stesen ini adalah:

    1. Teknik asas larian menuju palang,

    2. Teknik selamat landing di atas tilam

Antara gambar demontrasi dan percubaan sepanjang aktiviti:




Stesen B: Lontar Peluru

Acara ini telah dilaksanakan oleh Ustaz Mustafid dan dibantu oleh atlet-atlet Lontar Peluru kita. Antara fokus kemahiran yang diajar di stesen ini adalah:

    1. Teknik asas memegang peluru sebelum lontaran,

    2. Teknik asas lontaran peluru dengan betul

Antara gambar demontrasi dan percubaan sepanjang aktiviti:




Stesen C: Lari Pecut dan Berganti-ganti

Acara ini telah dilaksanakan oleh Cikgu Claudia dan dibantu oleh atlet-atlet Larian kita. Antara fokus kemahiran yang diajar di stesen ini adalah:

    1. Teknik mula pecutan serta pergerakkan tangan dan kaki semasa larian,

    2. Teknik memberi dan menerima baton dengan betul

Antara gambar demontrasi dan percubaan sepanjang aktiviti:



"Lelah berjalan di tengah pekan,
Singgah sebentar di warung Siti,
Terima kasih kami ucapkan,
Atas segala jasa dan bakti." 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua guru dan murid yang menjayakan Klinik Asas Olahraga bagi Sesi 2023 ini. Semoga sekolah kita akan menjadi lebih disegani dalam Sukan Olahraga dalam daerah Sepang ini.

Laporan disediakan oleh:

Ahmad Tirmiezi bin Baharuddin (Penyelaras Sukan dan Permainan)

Wednesday, November 8, 2023

Karnival Kokurikulum dan Sambutan Hari Kanak-Kanak SKTPP Tahun 2023

Tarikh: 7 - 8 November 2023

Hari: Selasa hingga Rabu
Masa: 7.30 pagi - 12.50 tengah hari (Sesi Pagi)
          1.00 - 6.20 petang (Sesi Petang)

Sambutan Hari Karnival Kokurikulum SKTPP telah berlangsung dengan penuh keriangan dan kemeriahan pada tahun ini. Tahun ini Karnival Kokurikulum ini juga telah digabungkan bersama-sama Sambutan Hari Kanak-Kanak. Pelbagai aktiviti telah dirangka dan dijalankan dengan jayanya seperti tahun-tahun yang lepas. Pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak ‘MZY Skytrue Pro, sebuah syarikat permainan dan aktiviti ‘outdoor’ yang menyediakan pelbagai permainan yang menarik bagi memeriahkan lagi Hari Karnival Kokurikulum SKTPP dan Sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun ini. 

Terdapat pelbagai permainan dan aktiviti menarik yang telah disediakan sepanjang karnival ini berlangsung. Antaranya, ‘ATV Train’, ‘Bounce Castle’, ‘Waterslide’, ‘Rumah Hantu’, ‘Paintball’ dan ‘Mini Skuter'. Semua permainan dan aktiviti-aktiviti ini dijalankan di dalam kawasan sekolah. Karnival ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada murid dan dijalankan dengan penuh keriangan.  Selain itu, gerai jualan makanan hasil kelolaan Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan (KKGK) turut dibuka pada hari tersebut. Murid-murid dapat mengisi perut dengan membeli makanan dan minuman yang dijual di gerai KKGK. 

Di samping itu, pada hari kedua karnival dijalankan, murid-murid turut berpeluang menyertai pelbagai pertandingan seperti gubahan coklat, membuat dan menghias sandwic, senamrobik dan lain-lain. Pertandingan-pertandingan ini ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid-murid. Selain dapat memeriahkan karnival ini, penyertaan murid-murid dalam pertandingan yang disusun dapat mencungkil bakat-bakat baru serta menyerlahkan lagi kreativiti dan daya saing murid-murid SKTPP. 
Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang sepanjang Karnival Kokurikulum berlangsung diadakan pada 9 November 2023. Berikut dikongsikan bingkisan gambar-gambar dan video yang telah dirakam sepanjang karnival ini berlangsung. 

Hari Pertama Sesi Pagi (7/11/2023)

Gambar 1: Poster Hebahan Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak SK Taman Putra Perdana.

Gambar 2: Poster Program Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak SK Taman Putra Perdana.

Gambar 3: Poster Hebahan Aktiviti Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak SK Taman Putra Perdana.

Gambar 4: Jadual Rujukan Penggiliran Permainanan dan Aktiviti Mengikut Kelas.

Gambar 5: Buku Program Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak SK Taman Putra Perdana.

Gambar 6: Persediaan tempat oleh pihak 'MZY Skytrue Pro' di dataran perhimpunan bagi permainan 'ATV Train', 'Bounce Catsle' dan 'Waterslide'.

Gambar 7: Murid-murid berkumpul di dewan bersama guru penyelaras dan guru-guru kelas yang terlibat bagi sesi taklimat ringkas sebelum mengikuti aktiviti dan permainan yang telah disediakan.

Gambar 8: Murid-murid menunggu giliran dan bersedia di stesen permainan masing-masing untuk menyertai permainan yang telah disediakan mengikut jadual penggiliran kelas masing-masing.

Gambar 9: 'Waterslide' antara permainan yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkkan daripada murid-murid. Petugas daripada 'MZY Skytrue Pro' turut membantu memantau aktiviti murid.

Gambar 10: Antara permainan yang tersedia semasa karnival iaitu 'ATV Ride' di dataran perhimpunan, 'Mini Skuter' bersebelahan kantin sekolah dan 'Rumah Hantu' di kelas tahun 4 Amber. 'Rumah Hantu' turut menjadi aktiviti yang paling diminati murid meskipun perlu beratur panjang bagi menunggu giliran masing-masing. 

Gambar 11: Permainan lain yang turut tersedia adalah 'Paintball' di padang sekolah bersebelahan kelas PPKI dan 'Bounce Castle' di dataran perhimpunan. Kelihatan juga murid-murid Tahun 5 sedang berkumpul di dewan dengan penuh teruja sementara menunggu giliran mereka untuk bermain.

Gambar 12: Suasana meriah di stesen permainan 'Waterslide'.

Gambar 13: Suasana di stesen 'Rumah Hantu'. Murid-murid prasekolah tidak melepaskan peluang untuk masuk ke 'Rumah Hantu' dan bergambar kenangan bersama Guru Besar, Pn Hajah Rohaidah binti Mohd. Ali.

Gambar 14: Suasana di stesen permainan 'ATV Train' di dataran perhimpunan sekolah. Murid-murid gembira dibawa menaiki 'ATV Train' yang membuat lima pusingan bagi setiap satu kupon. 

Gambar 15: Suasana di stesen permainan 'Paintball' turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada murid-murid. Keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing apabila berpeluang bermain 'Paintball'. 

Gambar 16: Suasana di stesen permainan 'Mini Skuter'. Murid-murid menunjukkan aksi dan kecergasan masing-masing menaiki mini skuter yang telah disediakan. 

Gambar 17:  Suasana warna-warni dan ceria di stesen 'Bounce Castle'. Masing-masing begitu puas dan gembira dapat bermain bersama-sama rakan. 

Gambar 18: Suasana di gerai jualan KKGK yang mendapat sambutan hangat daripada murid-murid. Tahniah KKGK atas sambutan yang begitu luar biasa !

Gambar 19: Antara wajah-wajah ceria murid dan guru yang dapat dirakam sepanjang karnival berlangsung. 

Hari Pertama Sesi Petang (7/11/2023)

Gambar 20: Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak pada sesi petang turut berlangsung dengan penuh kegirangan dan keceriaan. Murid-murid dilihat sangat seronok dan teruja bermain semua permainan yang telah disediakan di sekolah. Guru-guru turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan.

Gambar 21: Wah, seronoknya! Banyak permainan dan aktiviti yang menarik dapat disertai oleh murid sepanjang hari.  Lihatlah, suasana di 'Rumah Hantu' yang menakutkan ini. 

Gambar 22: Guru-guru turut mengambil peluang untuk bergambar kenangan bersama-sama semasa karnival berlangsung.

Hari Kedua Sesi Pagi (8/11/2023)

Gambar 23:  Hari Kedua dimulakan dengan perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak di dewan sekolah.

Gambar 24: Setelah selesai majlis perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak, Guru Besar dan tetamu jemputan dibawa melawat gerai-gerai jualan murid sempena Karnival Kokurikulum yang turut dibantu oleh guru-guru. Terdapat pelbagai menu menarik dijual di gerai-gerai ini. Antara menu yang ada termasuklah nasi lemak, pasta goreng, bebola ikan, sosej dan manisan seperti kek, 'creampuff' dan dadih. 

Gambar 25: Gerai jualan yang meriah dengan aneka makanan dan minuman mendapat sambutan yang amat baik oleh murid-murid dan guru-guru SKTPP. Di samping gerai jualan, murid-murid dan guru turut dapat mengikuti permainan 'Teka Jumlah Kacang' bagi berpeluang memenangi hadiah menarik. 

Gambar 26: Guru Besar dan YDP PIBG SKTPP sedang menilai salah satu pertandingan sempena Karnival Kokurikulum iaitu pertandingan menghias coklat. Kreatif dan menarik betul hasil kerja murid-murid kita. 

Gambar 27: Murid-murid bergambar kenangan bersama hasil kerja kumpulan masing-masing.

Gambar 28: Penilaian sedang berlangsung bagi pertandingan menghias sandwic pula, yang diadakan di Bilik RBT SKTPP. Bukan mudah untuk para juri menentukan pemenang kerana semua memaparkan hasil yang begitu kreatif. 

Gambar 29: Murid bergambar bersama-sama ahli kumpulan masing-masing setelah selesai menghias sandwic. 

Gambar 30: Antara hasil kerja murid-murid bagi pertandingan menghias sandwic

Gambar 31: Pertandingan bola jaring turut dijalankan di dataran perhimpunan SKTPP. Guru Besar sempat merakam gambar bersama para pengadil bagi pertandingan bola jaring sebelum acara bermula.

Gambar 32: Pertandingan 'senamrobik' berkumpulan turut berlangsung di dataran perhimpunan SKTPP. Barisan hakim bagi pertandingan ini terdiri daripada Guru Besar SKTPP, Pn Rohaidah binti Mohd Ali, Penolong Kanan Kurikulum Pn
 Azizah binti Mokhlas dan PK HEM, Datin Noraizah binti Dun bersama-sama dengan dua orang guru SKTPP, Dr. Azarul bin Mokhtar dan juga Puan Norazian binti Mat Anuar. 

Gambar 33: Pertandingan bola sepak mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada murid-murid lelaki. Lebih 20 team telah menyertai. Masing-masing menunjukkan skil bermain bola sepak yang hebat walaupun padang sangat becak.

Gambar 34: Aktiviti lain yang turut dijalankan semasa Karnival Kokurikulum adalah 'Bantu Mula' dan juga demonstrasi memasang khemah yang dikendalikan oleh Ustaz Zurilazman, Guru Penasihat TKRS SKTPP dengan bantuan beberapa orang murid SKTPP. Murid-murid lain turut tidak melepaskan peluang masing-masing untuk mencuba aktiviti-aktiviti ini.

Gambar 35: Meskipun sudah masuk hari kedua, stesen permainan 'MZY Skytrue Pro' dan 'Rumah Hantu' tetap menerima kunjungan yang sangat menggalakkan daripada murid-murid. Tarikan lain yang turut tersedia pada hari kedua ini termasuklah bilik 'Photobooth' di mana masing-masing dapat bergambar kenangan bersama rakan-rakan. Murid-murid begitu teruja apabila berpeluang membawa pulang gambar kenangan sempena Karnival Kokurikulum dan Sambutan Hari Kanak-Kanak di SKTPP.

Gambar 36: Karnival Kokurikulum SKTPP pada tahun ini turut menyelitkan permainan tradisional dalam aktiviti murid pada hari kedua iaitu permainan congkak sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan permainan ini kepada murid-murid. Murid-murid kelihatan begitu teruja dan sangat seronok apabila berpeluang untuk bermain congkak bersama rakan-rakan. Selain itu, murid-murid yang tidak pernah bermain congkak sebelum ini, kelihatan begitu gembira apabila diberi peluang untuk bermain congkak pada hari karnival ini. Guru yang bertugas di stesen permainan congkak ini pula memberi penerangan dan membuat demonstrasi permainan congkak dengan baik untuk murid-murid. Lihatlah seperti di dalam gambar di atas, masing-masing begitu fokus dan bersemangat bermain permainan congkak. Pengalaman yang amat bernilai buat murid-murid SKTPP kita. 

Gambar 37: Sesi penyampaian hadiah bagi sesi pagi sempena Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak pula telah  dijalankan pada 9 November 2023. Berikut antara wajah-wajah ceria penerima-penerima hadiah yang dapat dikongsikan di sini semasa  menerima hadiah di atas pentas. Syabas buat semua murid yang telah memberikan kerjasama.& sambutan yang sangat baik bagi setiap acara yang  dipertandingkan.

Gambar 38: Terpancar keceriaan dan kepuasan di wajah masing-masing atas usaha yang telah membuahkan hasil. 

Hari Kedua Sesi Petang (8/11/2023)

Gambar 39: Hari kedua Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak pada sesi petang turut dimulakan dengan perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak. Murid-murid berkumpul di dewan sepanjang majlis berlangsung. 

Gambar 40: Gerai-gerai jualan pada sesi petang turut meriah dengan pelbagai jenis makanan dan minuman. Guru-guru sesi petang kelihatan ceria melayan kerenah murid-murid yang singgah untuk membeli serta menyediakan menu-menu tambahan untuk dijual di gerai kendalian masing-masing. 

Gambar 41: Aktiviti karnival pada sesi petang turut berlangsung dengan penuh kemeriahan. Murid dan guru tetap bertenaga menyertai pelbagai aktiviti yang telah disediakan. Tahniah buat semua!

Perkongsian Video Karnival Kokurikulum SKTPP
 
Video 1: Suasana murid-murid dan guru prasekolah semasa di 'Rumah Hantu' 

Video 2: Murid-murid prasekolah keluar daripada 'Rumah Hantu'. Wah, berani betul adik-adik prasekolah kita. 

Begitulah perkongsian gambar dan video yang dapat memaparkan serba sedikit suasana semasa Karnival Kokurikulum SKTPP dan Hari Kanak-Kanak yang telah dijalankan dengan jayanya pada tahun ini. Acara yang telah berlangsung selama dua hari ini sememangnya memberikan banyak kenangan manis dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat seluruh warga SKTPP dan murid. 
Sesungguhnya, kerjasama semua warga SKTPP amatlah membanggakan. Setinggi-tinggii tahniah dan syabas juga buat Guru Besar, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd. Ali, barisan pentadbir  SKTPP, Unit Kokurikulum dan HEM serta seluruh warga sekolah atas kejayaan dalam melaksanakan program ini. Tidak lupa juga ucapan tahniah dan terima kasih buat YDP PIBG, Tuan Hj. Megat Md Salleh bin Md Arshad atas kesudian beliau mengikuti Karnival Kokurikulum dan Hari Kanak-Kanak SKTPP pada tahun ini. 
Seterusnya, warga SKTPP turut  berterima kasih kepada syarikat 'MZY Skytrue Pro' atas penglibatan dalam Karnival Kokurikulum SKTPP pada tahun ini. Akhir kata, sekalung tahniah buat ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus merancang dan melaksanakan tugasan masing-masing,  semua guru, ibu bapa dan murid  serta warga SKTPP atas kerjasama yang amat baik sepanjang program berlangsung. Semoga berjumpa lagi di Karnival Kokurikulum SKTPP pada tahun hadapan.

Disediakan oleh:
Puan Nur Murni binti Abdullah