SK Taman Putra Perdana sekali lagi mengorak langkah menganjurkan Program Klinik Pembangunan Kriket. Program Klinik Pembangunan Kriket Jemputan Daerah Sepang ini adalah merupakan satu program yang dijalankan bagi memberi pendedahan awal secara teori dan amali tentang permainan kriket dengan lebih mendalam lagi.
Justeru itu, pendekatan khusus yang lebih sistematik telah diterjemahkan bagi memberi peluang kepada murid meningkatkan lagi potensi dan keazaman diri. Seterusnya membantu murid berusaha mencapai prestasi yang cemerlang dalam permainan kriket. Selain itu, ia dapat memupuk semangat kerjasama dan kesepaduan dalam pasukan antara sekolah daerah Sepang.
Program dimulai seawal pukul 8.30 pagi sehingga pukul 1.00 petang. Cuaca yang sangat baik membolehkan peserta-peserta dari beberapa sekolah daerah Sepang menimba ilmu dan pengalaman dengan lebih selesa dari penceramah jemputan yang hebat yang diundang khas.
Antara sekolah yang menyambut cabaran untuk meningkatkan kemahiran yang lebih tinggi dalam permainan kriket ini ialah:
- SK Taman Putra Perdana (hos klinik)
- SK Jenderam
- SK Sungai Pelek
- SK Kota Warisan
- SK Sungai Rawang
- SK KLIA
- SK Methodist
- SMK Taman Putra Perdana
Pendaftaran sekolah yang mengambil bahagian dalam Klinik Pembangunan Kriket Daerah Sepang |
Kehadiran pelbagai sekolah sekitar Sepang ini menggambarkan kegigihan yang tinggi daerah dan SKTPP untuk mengangkat prestasi sukan kriket daerah Sepang hingga bertaraf nasional. Semoga Sepang dapat menjadi pembekal kepada skuad utama dan belia negara tercinta.
Klinik Pembangunan Kriket kali ini dihiasi dengan kehadiran barisan pentadbir sekolah terlibat, jurulatih utama pasukan kriket sekolah dan jurulatih yang berprestasi tinggi sebagai penceramah jemputan dan pengendali pembelajaran kemahiran asas Kriket. Berikut adalah penceramah jemputan khas ke gelanggang Kriket SKTPP:
1. Encik Mohd Nazril bin Abd Rahman (Jurulatih Kriket- Sekolah Sukan Bukit Jalil)
2. Coach Roshan (Jurulatih SUKMA Selangor)
Encik Mohd Nazril bin Abd Rahman (Jurulatih Kriket- Sekolah Sukan Bukit Jalil) |
Coach Roshan (Jurulatih SUKMA Selangor) |
Program ini dimulai dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana. Walaupun majlis ini diadakan dengan ringkas namun ucapan yang disampaikan menggambarkan besar harapan dan tinggi matlamat program ini dijalankan iaitu melahirkan pasukan kriket elit daerah Sepang.
Klinik Pembangunan Kriket dirasmikan oleh Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana. |
Para jurulatih jemputan telah mengendalikan latihan secara praktikal dan memberi harapan yang tinggi kepada peserta Klinik Pembangunan Kriket kali ini. Oleh itu, mereka telah mengajar beberapa kemahiran paling penting dalam permainan kriket dan harus dikuasai oleh setiap pemain.
1. Kemahiran memadang atau fielding
Iaitu kemahiran menangkap bola dengan mengambil berat kestabilan tubuh, koordinasi mata dan tangan untuk menangkap bola tinggi dan bola rendah dengan betul. Murid mengikuti teknik pertama ini dengan sangat baik dan penuh keyakinan. Murid akan memadang bola yang telah dilontar oleh pembantu jurulatih yang terdiri dalam kalangan pelajar SMK Taman Putra Perdana.
Jurulatih jemputan melatih peserta melakukan Gaya Open Cup dan Gaya Reversed Cup. |
Teknik membaling bola dengan betul sangat penting agar memastikan balingan itu tidak batal dan menghasilkan lontaran yang padu. Tubuh peserta yang bersaiz ternyata bukan penghalang dalam permainan Kriket. Setiap pemain mengambil giliran membaling bola dan menjaga wiket. Pemain yang telah membaling bola akan bergerak ke belakang barisan pemain. Hasil teknik yang telah dipelajari menunjukkan peningkatan penguasaan membaling bola Kriket.
Setiap peserta mengambil giliran membaling bola dan menjaga wiket. |
Pembelajaran seterusnya ialah teknik pukulan bola Kriket. Cara pukulan dimulai dengan cara memegang kayu pemukul dengan betul, cara berdiri seimbang dan fokus kepada pergerakan bola. Pastikan kaki dan kayu pemukul bergerak bersama. Murid dibekalkan kayu pemukul bergilir-gilir memukul bola ke arah penjaga wiket. Apabila bola dipukul murid akan bertukar tempat.
Murid sedang mengikuti perkongsiaan tentang asas memegang kayu pemukul, cara berdiri dan cara memukul. |
Kegigihan para peserta Program Pembangunan Kriket telah berjaya menambat hati para jurulatih untuk terus mengajar kemahiran dan teknik walaupun cuaca semakin panas. Namun, masa telah tiba di garisan penamat. Acara terakhir Klinik Pembangunan Kriket kali ini diteruskan dengan sesi postmortem dan sesi motivasi dari barisan jurulatih jemputan dan Pn. Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, GB SK Taman Putra Perdana.
Barisan jurulatih jemputan dan Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali menyampaikan kata-kata semangat dan perkongsian untuk melonjakkan lagi semangat para peserta. |
No comments:
Post a Comment