Saturday, July 15, 2023

Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-19, 2023

Pada hari Sabtu, 15 Julai 2023, SK Taman Putra Perdana telah mengadakan Kejohanan Sukan Tahunan buat kali ke-19 bertempat di padang sekolah. Kejohanan ini disertai oleh 5 rumah sukan iaitu rumah sukan Tuah, Lekir, Jebat, Lekiu dan Kasturi. Tema tahun ini ialah negeri-negeri di Malaysia.

    Antara objektif kejohanan sukan ini diadakan ialah:-

     1. Memupuk semangat kesukanan.

     2. Melahirkan semangat daya saing yang sihat.

     3. Mengamalkan nilai-nilai murni melalui sukan.

     4.Memupuk semangat kerjasama dan berpasukan.

 Sila klik link di bawah ini untuk dapatkan buku program dalam bentuk Anyflip:   https://online.anyflip.com/zlxaf/eafq/mobile/index.html

Acara yang dipertandingkan ialah acara balapan lari 50m, 75m, 100m, 200m, 4x50m, 4x100m dan 4x200m. Sukan Tahunan ini juga turut dimeriahkan lagi dengan acara 4x50m guru dan ibu bapa SKTPP. Selain itu acara tarik tali peringkat akhir juga turut dipertandingkan pada hari tersebut.

Tertib acara kejohanan dimulakan dengan perarakan masuk pasukan perbarisan  yang gilang gemilang dengan pelbagai tema pakaian dan juga persembahan bagi setiap rumah sukan mewakili negeri yang dipilih. Usai nyanyian lagu Negaraku, doa dibacakan oleh Ustaz Zurilazman bin Abdullah diikuti dengan bacaan ikrar kejohanan oleh Ketua Kontijen.

Acara diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pn. Hajah Rohaidah binti Mohd Ali, Guru Besar SKTPP. Oni diikuti ucapan oleh Tn. Hj. Megat Md. Salleh bin Md. Arshad, YDP PIBG dan seterusnya ucapan perasmian oleh En.Khairuddin bin Abbas selaku Penolong PPD Pentaksiran & Peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah Sepang. Selanjutnya, perasmi merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan 2023 melalui gimik persembahan menandakan bermulanya Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-19 tahun 2023 secara rasmi.

Kejohanan sukan tahunan sekolah pada tahun ini dimenangi oleh rumah sukan Jebat, Naib Johan rumah sukan Lekir, tempat ketiga rumah sukan Tuah, tempat keempat rumah sukan Kasturi dan tempat kelima rumah sukan Lekiu. Secara keseluruhannya, semua murid telah melibatkan diri secara aktif dalam sukan tahunan kali ini dan ini memudahkan guru-guru memilih pelapis dan atlet bagi mewakili sekolah dalam Kejohanan Sukan Olahraga MSSD Sepang tahun 2023. Diharapkan sukan tahunan ini dapat mencungkil bakat-bakat olahraga dalam kalangan murid dan meningkatkan hubungan silaturrahim antara guru-guru dan ibu bapa.

Berikut merupakan gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-19 berlangsung:










Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua warga SK Taman Putra Perdana, AJK Pelaksana, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan semua murid dalam menjayakan Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-19 2023 ini.Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pentadbir, AJK Pelaksana, murid-murid serta warga SKTPP yang telah bekerjasama secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Kejohanan Sukan Tahunan kali ini. Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi pada kejohanan sukan akan datang.

Disediakan oleh:

Siti Fatimah & Rosmanini

No comments:

Post a Comment