Friday, March 17, 2023

Kejohanan Kriket Juara-Juara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2022

 

Bertarikh 26 Januari 2022 merupakan detik bersejarah di mana pasukan kriket Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana (SKTPP) sekali lagi merangkul Juara dalam Kejohanan Kriket Juara-Juara Sekolah peringkat Negeri Selangor edisi 2022. Dengan kejayaan ini, maka pasukan kriket SKTPP akan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan. Maka bermulalah misi SKTPP untuk mengekalkan kejuaraan di peringkat kebangsaan seperti edisi sebelumnya.

Pada edisi Kejohanan Kriket Juara-Juara Sekolah Kebangsaan 2022 kali ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana, Setiu, Terengganu telah dipilih sebagai venue perlawanan. Kejohanan bermula pada 10 - 17 Mac 2023. SKTPP telah diundi untuk berada di dalam kumpulan B bersama SK Nong Chik, Johor Bahru dan SK Dewan Besar, Kelantan.

Pada 9 Mac 2023, pasukan kriket sekolah bertolak ke Terengganu dengan hanya satu tujuan iaitu untuk menjadi JUARA!. Sedang rakan lain seronok bercuti sempena cuti persekolahan, pasukan kriket SKTPP terpaksa mengorbankan cuti mereka kali ini. Jurulatih utama pasukan kriket SKTPP Cikgu Ahmad Junaidi atau lebih mesra dipanggil Coach J telah merangka pelbagai pelan latihan dan perlawanan persahabatan bagi mengharungi kejohanan kali ini. Turut hadir sama sebelum keberangkatan mereka adalah Ahli Majlis Putra Perdana Tn. Hj. Naharanuar, Dr. Idris, pegawai dari JPN Selangor Pn. Nor Fadzillah, SU Agung MSSS En. Nor Hisham Jaini, Pengerusi Teknik Kriket Negeri En. Fitri, PK Koku SKTPP Pn. Fauziah, para pentadbir dan ibu bapa murid.

Gambar bersama Tn. Hj. Naharanuar Bin Ayob Mattsilau, Dr. Idris, Pn. Nor Fadzillah (JPN), En. Nor Hisham Jaini (SU Agung MSSS), En Fitri PTR Selangor, Pn. Fauziah PKKo wakil Guru Besar, dan Supporter Sepang Ranger Criket Club (PSG) sebelum bertolak ke Terengganu

Wajah ceria jurulatih utama bersama anak didiknya

Perlawanan peringkat kumpulan pertama pada 11 Mac 2022, SKTPP bertemu SK Nong Chik, Johor Bharu. Pasukan SKTPP bermula dengan sangat agresif apabila berjaya menumpaskan lawannya dengan mudah.

Keputusan akhir perlawanan pertama.

 SKTPP vs SK Nong Chik

Perlawanan kedua berlangsung pada sebelah petangnya pula. SKTPP bertemu SK Dewan Besar, Kelantan. Perlawanan kali ini, pasukan SKTPP agak tidak menyerlah bagi mempamerkan aksi yang memberangsangkan. Oleh yang demikian, pihak lawan mengambil kesempatan ini untuk menumpaskan SKTPP. SKTPP tumpas perlawanan ini, sekaligus berada di kedudukan kedua dalam kumpulan B.

Keputusan akhir perlawanan kedua.

SKTPP vs SK Dewan Besar

Pasukan SKTPP berjaya meneruskan perjuangan apabila mara ke suku akhir. Setelah dua hari berehat, perjuangan bagi memburu kejuaraan diteruskan lagi pada 14 Mac 2023 menentang pasukan tuan rumah SK Kerteh, Terengganu. SKTPP langsung tidak memberi peluang mudah kerana mereka tahu bahawa pusingan ini adalah kalah mati. Jika mereka kalah, perjuangan mereka terhenti hingga ke peringkat ini sahaja. SKTPP telah memastikan slot separuh akhir pertama menjadi milik mereka.

Keputusan akhir perlawanan suku akhir pertama

SKTPP vs SK Kerteh

Separuh akhir pertama, SKTPP  bertemu SK Batu Kurau, Perak. Separuh akhir kedua pula menemukan SK Bukit Rokan, Negeri Sembilan menentang SK Dewan Besar, Kelantan. Apabila sudah berada di tahap ini, pasukan yang masih beraksi adalah pasukan yang hebat belaka. Fokus pemain dan pemikiran juga perlu lebih hebat dari perlawanan di peringkat awal. Best Team Win, itulah yang boleh diperkatakan buat pasukan SKTPP apabila menang dalam perlawanan kali ini. Seterusnya menempatkan pasukan dalam senarai untuk beraksi di peringkat akhir. 

Keputusan akhir perlawanan separuh akhir 1

SKTPP vs SK Bt. Kurau

Hari yang dinantikan telah tiba. Pentas akhir bagi Kejohanan Kriket Juara-Juara Sekolah Kebangsaan 2022 menemukan semula SKTPP bersama SK Dewan Besar, Kelantan. Kerisauan semestinya bermain di fikiran Coach J dan anak didiknya kerana mereka pernah tumpas pada peringkat kumpulan. Coach J pastinya mempunyai strategi tersendiri bersama pasukannya bagi menghadapi situasi ini. Dengan cuaca yang panas, kekuatan mental pemain amat memainkan peranan bagi mengekalkan fokus diatas padang.
Walau bagaimanapun, SK Dewan Besar lebih menyerlah kali ini. SKTPP perlu akur dengan tewas sekali lagi di peringkat akhir. Sekaligus SKTPP hanya merangkul selaku Naib Juara. 

Keputusan perlawanan akhir lelaki bawah 12 tahun

  SKTPP vs SK Dewan Besar

Majlis penyampaian pingat dan sijil buat pemain


Tahniah diucapkan terutamanya kepada Coach J dan semua pemain  di atas kejayaan ini. Walaupun tidak dapat mengekalkan kejayaan selaku juara seperti edisi 2019 yang lalu, warga SKTPP amat berbangga dengan pencapaian pada kali ini. Pengorbanan Coach J dan pemain tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Semoga Allah Merahmati kalian semua. Walaupun Naib Juara dalam kejohanan kali ini, pasukan SKTPP tetap Juara di hati warga SKTPP. Setinggi-tinggi tahniah! Kekalahan kali ini, mungkin menjadi asbab untuk menjulang kejuaraan pada tahun-tahun akan datang. Semoga terus cemerlang..

Disediakan oleh : 
Cikgu Muhammad Fakhrul Hafiz bin Awang

Monday, January 30, 2023

Klinik Pembangunan Kriket Jemputan Daerah Sepang

SK Taman Putra Perdana sekali lagi mengorak langkah menganjurkan Program Klinik Pembangunan Kriket. Program Klinik Pembangunan Kriket Jemputan Daerah Sepang ini adalah merupakan satu program yang dijalankan bagi memberi pendedahan awal secara teori dan amali tentang permainan kriket dengan lebih mendalam lagi.

 Justeru itu, pendekatan khusus yang lebih sistematik telah diterjemahkan bagi memberi peluang kepada murid meningkatkan lagi potensi dan keazaman diri. Seterusnya membantu murid berusaha mencapai prestasi yang cemerlang dalam permainan kriket. Selain itu, ia dapat memupuk semangat kerjasama dan kesepaduan dalam pasukan antara sekolah daerah Sepang.

Program dimulai seawal pukul 8.30 pagi sehingga pukul 1.00 petang. Cuaca yang sangat baik membolehkan peserta-peserta dari beberapa sekolah daerah Sepang menimba ilmu dan pengalaman dengan lebih selesa dari penceramah jemputan yang hebat yang diundang khas.

Antara sekolah yang menyambut cabaran untuk meningkatkan kemahiran yang lebih tinggi dalam permainan kriket ini ialah:

  • SK Taman Putra Perdana (hos klinik)
  • SK Jenderam
  • SK Sungai Pelek
  • SK Kota Warisan
  • SK Sungai Rawang
  • SK KLIA
  • SK Methodist
  • SMK Taman Putra Perdana
Pendaftaran sekolah yang mengambil bahagian dalam Klinik Pembangunan Kriket Daerah Sepang

Kehadiran pelbagai sekolah sekitar Sepang ini menggambarkan kegigihan yang tinggi daerah dan SKTPP untuk mengangkat prestasi sukan kriket daerah Sepang hingga  bertaraf nasional. Semoga Sepang dapat menjadi pembekal kepada skuad utama dan belia negara tercinta.

Klinik Pembangunan Kriket kali ini dihiasi dengan kehadiran barisan pentadbir sekolah terlibat, jurulatih utama pasukan kriket sekolah dan jurulatih yang berprestasi tinggi sebagai penceramah jemputan dan pengendali pembelajaran kemahiran asas Kriket. Berikut adalah penceramah jemputan khas ke gelanggang Kriket SKTPP:

    1Encik Mohd Nazril bin Abd Rahman (Jurulatih Kriket- Sekolah Sukan Bukit Jalil)

    2. Coach Roshan (Jurulatih SUKMA Selangor)

Encik Mohd Nazril bin Abd Rahman (Jurulatih Kriket- Sekolah Sukan Bukit Jalil)

Coach Roshan (Jurulatih SUKMA Selangor)

Program ini dimulai dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana. Walaupun majlis ini diadakan dengan ringkas namun ucapan yang disampaikan menggambarkan besar harapan dan tinggi matlamat program ini dijalankan iaitu melahirkan pasukan kriket elit daerah Sepang.

Klinik Pembangunan Kriket dirasmikan oleh  Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, Guru Besar SK Taman Putra Perdana.

Seterusnya, peserta Klinik Pembangunan Kriket dibahagikan dalam beberapa kumpulan untuk memudahkan mereka menimba ilmu dan pengalaman secara meluas tentang kriket.

Para jurulatih jemputan telah mengendalikan latihan secara praktikal dan memberi harapan yang tinggi  kepada peserta Klinik Pembangunan Kriket kali ini. Oleh itu, mereka telah mengajar beberapa kemahiran paling penting dalam permainan kriket dan harus dikuasai oleh setiap pemain.  

1. Kemahiran memadang atau fielding

Iaitu kemahiran menangkap bola dengan mengambil berat kestabilan  tubuh, koordinasi mata dan tangan untuk menangkap bola tinggi dan bola rendah dengan betul. Murid mengikuti teknik pertama ini dengan sangat baik dan penuh keyakinan. Murid akan memadang bola yang telah dilontar oleh pembantu jurulatih yang terdiri dalam kalangan pelajar SMK Taman Putra Perdana.

Jurulatih jemputan melatih peserta melakukan Gaya Open Cup dan Gaya Reversed Cup.

2. Kemahiran Membaling / Melontar Bola

Teknik membaling bola dengan betul sangat penting agar memastikan balingan itu tidak batal dan menghasilkan lontaran yang padu. Tubuh peserta yang bersaiz ternyata bukan penghalang dalam permainan  Kriket. Setiap pemain mengambil giliran membaling bola dan menjaga wiket. Pemain yang telah membaling bola akan bergerak ke belakang barisan pemain. Hasil teknik yang telah dipelajari menunjukkan peningkatan penguasaan membaling bola Kriket.

Setiap peserta mengambil giliran membaling bola dan menjaga wiket.

3. Kemahiran Memukul

Pembelajaran seterusnya ialah teknik pukulan bola Kriket. Cara pukulan dimulai dengan cara memegang kayu pemukul dengan betul, cara berdiri seimbang dan fokus kepada pergerakan bola. Pastikan kaki dan kayu pemukul bergerak bersama. Murid dibekalkan kayu pemukul bergilir-gilir memukul bola ke arah penjaga wiket. Apabila bola dipukul murid akan bertukar tempat.

Murid sedang mengikuti perkongsiaan tentang asas memegang kayu pemukul, cara berdiri dan cara memukul. 

Kegigihan para peserta Program Pembangunan Kriket telah berjaya menambat hati para jurulatih untuk terus mengajar kemahiran dan teknik walaupun cuaca semakin panas. Namun, masa telah tiba di garisan penamat. Acara terakhir Klinik Pembangunan Kriket kali ini diteruskan dengan sesi postmortem dan sesi motivasi dari barisan jurulatih jemputan dan Pn. Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali, GB SK Taman Putra Perdana.

Barisan jurulatih jemputan dan Pn Hjh Rohaidah Bt Mohd Ali menyampaikan kata-kata semangat dan perkongsian untuk melonjakkan lagi semangat para peserta.

Sesi bergambar antara peserta Klinik Pembangunan Kriket Jemputan Daerah Sepang, barisan pentadbir sekolah, jurulatih utama pasukan kriket sekolah dan penceramah jemputan

Disediakan oleh :
Ustaz Mustafid

Monday, January 9, 2023

SKTPP @ DidikTV KPM NTV7: Sukan Kriket Adiwira

Alhamdulillah.. SKTPP telah terpilih sebagai lokasi penggambaran dan pemain-pemain cilik SKTPP telah terpilih sebagai pelakon simulasi untuk slot pengajaran Sukan Kriket Adiwira oleh Cikgu Mohd Nazril bin Abd Rahman (guru Sekolah Sukan Negara (SSN) Bukit Jalil). 

Penggambaran telah diadakan semasa cuti sekolah bulan Disember 2022. Seramai 12 orang murid telah terlibat sepanjang rakaman tersebut termasuk 3 orang pemain kriket SKTPP yang telah membantu pasukan Selangor menjuarai Kejohanan Kriket MSSM 2022 yang lalu iaitu: 

♡ Auf Abraqi bin Mohd Rusdi

♡ Nagineswaran a/l Sathnakumaran

♡ Muhammad Hakeem Rizqi bin Norazmi


Bersama krew DidikTV KPM NTV7

Bersama host Fizie Roslan

Bersama host Hanif Shawn



















Rancangan tersebut telah bersiaran di DidikTV NTV7 pada;

31 Disember 2022 (Sabtu)

1 Januari 2023 (Ahad)

7 Januari 2023 (Sabtu)

8 Januari 2023 (Ahad)

Masa : 7.30 - 8.30 malam




Jom belajar Kriket bersama Coach Nazril 😁🏏🇲🇾









#sktppddidiktv

Terima kasih banyak diucapkan kepada Tn. Nazril Rahman (SSBJ), Tn Samsyul Hisham (KPM) dan krew DidikTV atas peluang yang diberi kepada sekolah kami. Semoga sukan kriket akan terus diminati dan popular dalam kalangan murid serta guru sekolah negara kita sebagaimana sukan-sukan lain..

#adiwirakriket 

#risingtogether🏏🇲🇾